Monday, January 24, 2011

seni kraf logam

Di Malaysia, seni pertukangan logam sudah lama bertapak dan dipercayai bermula sejak zaman pra-sejarah.  Seni pertukangan logam ini berkembang sejajar dengan perkembangan industri yang lain, termasuk emas, tembaga dan besi.  Selain itu, barangan yang berasaskan logam bukan sahaja pada pertukangan logam tembaga malah dalam penghasilan perak dan pewter juga mendapat tempat di negara ini.

        Menurut sejarah, penggunaan bahan-bahan logam seperti tembaga dalam proses pembuatan barangan seni telah dibawa oleh masyarakat Funan apabila berlaku kekacauan di negara tersebut.  Teknik pembuatan barangan tembaga secara tuangan juga berasal dari Funan pada zaman Dong-Son.  Apabila berlaku kekacauan di negara tersebut, satu penghijrahan telah berlaku.  Masyarakat Funan dipercayai berhijrah sehingga Tanah Melayu membawa kemahiran yang mereka ada.

        Bagi logam emas pula dipercayai usaha melombongnya bermula sejak 2000 tahun yang lalu.  Emas telah digali di Pahang, Terengganu, Gunung Ledang di Johor, Johol dan Gemenceh di Negeri Sembilan.  Mengikut anggaran dan rekod yang bertulis pada tahun 1839.  Semenanjung Malaysia telah mengeluarkan kira-kira 1250 paun emas.  Emas telah diperolehi dengan berbagai-bagai cara dan dikumpulkan untuk dieksport untuk kegunaan dalam negeri.

        Seni pertukangan logam ini terus melalui beberapa perubahan setelah masyarakat Melayu mengetahui nilai yang ada pada logam.  Jika dahulunya logam hanya sebagai matawang, namun peredaran masa telah menjadikan logam barang keperluan dapur dan senjata.  Pada masa itulah masyarakat Melayu telah pandai mencorakkan sesuatu barangan aksesori kaum wanita.  Logam juga dihasilkan untuk membentuk barangan yang berkaitan dengan adat istiadat masyarakat Melayu.

        Kebanyakan barang perhiasan yang dimiliki oleh kerabat diraja Melayu pada hari ini dipercayai telah diukir pada abad ke-18 dan awal abad ke-19 kerana emas pada masa itu mudah didapati.  Ini telah membolehkan tukang-tukang emas menggunakan kemahiran mereka dengan sebaiknya.  Oleh demikian sehingga kini barangan yang dihasilkan masih mencerminkan keunggulan kesenian Melayu yang tidak dapat ditandingi.

        Penduduk bagi negeri Kelantan dan Kedah juga telah menggunakan duit syiling emas untuk berjual beli.  Siri pertama dan paling penting dikenali ialah yang melambangkan seekor kijang.  Lambang kijang kekal hingga ke hari ini sebagai lambang negeri Kelantan dan sebagai logo Bank Negara Malaysia.  Kini Muzium Negara telah memberi keutamaan kepada usaha mengumpul barang-barang lama tempatan yang dibentuk daripada logam emas sebagai sebahagian daripada koleksi kebangsaan.  Daripada kajian yang dibuat terhadap contoh-contoh menunjukkan kualiti kemahiran kraftangan yang bermutu tinggi.

No comments:

Post a Comment